Amirudin Shari ketika ditemui media di Majlis bacaan Yassin & solat hajat perdana bagi pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2019 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves pada 3 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Inisiatif pendidikan baharu dalam Belanjawan 2020

GOMBAK, 4 OKT: Kerajaan Negeri akan mengumumkan inisiatif baharu dalam Belanjawan Negeri 2020 bagi memastikan semua golongan mendapat peluang pendidikan terbaik.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif baharu itu turut menggalakkan graduan cemerlang mengisi pasaran kerja di Selangor sama ada sebagai penjawat awam mahupun swasta.

“Ini yang kita berikan penumpuan dan diharap akan dapat hasil kerana merugikan apabila kita banyak laburkan dalam pendidikan tetapi kadang kala pelajar ini belajar di negeri lain, tak apa lagi tetapi ada yang bekerja di luar negara. Ini yang perlu kita elakkan.

“Belajar luar negara dan mereka tidak balik, ini satu kerugian kepada negara,” katanya ketika ditemui media di Majlis Bacaan Yassin dan Solat Hajat Perdana Untuk Pelajar Menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves di sini, semalam.

Amirudin Shari menyampaikan cenderamata kepada pelajar sempena Majlis bacaan Yassin & solat hajat perdana bagi pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2019 di Masjid Jamek Al-Amaniah, Batu Caves pada 3 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin berkata, inisiatif baharu itu membabitkan golongan pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.

Terdahulu, dalam ucapan di majlis sama, Amirudin mengingatkan supaya calon yang bakal menduduki peperiksaan SPM bersedia menghadapi cabaran untuk mendaki ke menara gading.

Katanya, golongan lepasan SPM juga perlu membuat pilihan tepat untuk menentukan bidang akan diceburi di institusi pengajian tinggi nanti.

“Selepas 11 tahun dalam sistem pendidikan persekolahan, inilah detik penting untuk adik-adik meneroka bidang lebih luas yang akan dipilih.

“Gunakan peluang ini sebaik mungkin tetapi jika ada peluang namun tidak berusaha tiada gunanya,” katanya di hadapan lebih 500 hadirin pada majlis itu.


Pengarang :