EXCOSELANGOR

MB jangka Selangor seri di Larkin, bangkit di Shah Alam

KLANG, 18 OKT: Tidak mustahil pasukan Selangor mampu mencipta kejutan dalam pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia dengan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Larkin esok.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau menjangkakan pasukan gergasi merah itu akan mengikat JDT dengan keputusan seri sebagai bekalan di laman sendiri pada 26 Oktober nanti.

“Di Johor paling kurang kita boleh seri atau kalau tewas pun, kalah tipis sahaja sebab bukan mudah kalahkan mereka.

“Bagaimanapun saya tak mahu beri tekanan kepada pemain tetapi saya harap mereka boleh buat yang terbaik nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri lawatan ke program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Malaysia Kohort 11 di Kem Wawasan Negara Meru, Kampung Bukit Cherakah di sini, hari ini.

Amirudin berkata, walaupun pasukan JDT merupakan pasukan yang kuat dan disegani tetapi tiada yang mustahil dalam bola sepak.

Beliau juga percaya, jurulatih B Sathianathan mempunyai formula terbaik untuk menundukkan JDT.

Turut berkongsi keyakinan sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Mohd Khairuddin berkata, pasukan Selangor akan mencatatkan keputusan seri di Stadium Larkin sebelum menang di Stadium Shah Alam nanti.

“Saya sentiasa optimis dalam hal ini walaupun kita sedar JDT adalah pasukan yang kuat tetapi para pemain kita mampu menggalas cabaran ini,” katanya.


Pengarang :