Amirudin Shari berucap ketika Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) di Kem Wawasan Negara Meru pada 18 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB kongsi pengalaman untuk teladan generasi muda

KLANG, 18 OKT: Generasi muda disaran berusaha mengenal pasti bidang yang ingin diceburi berdasarkan minat dan kebolehan masing-masing seawal peringkat sekolah menengah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, berbanding eranya, beliau mula mengenal pasti bidang diceburi ketika menuntut di institusi pengajian tinggi awam.

Katanya, walaupun memiliki keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang dalam jurusan sains tetapi akhirnya beliau memilih Sains Sosial ekoran minat mendalam untuk mendekati masyarakat.

“Saya ambil matrikulasi Sains Fizik yang mana alirannya sama ada saintis atau fizik gunaan dan jika lebih baik dalam bidang kejuruteraan tetapi ketika itu saya lebih suka terlibat untuk menyumbang kepada masyarakat.

“Saya cenderung untuk bersama masyarakat walaupun tidak semestinya sebagai pemimpin politik seperti menteri besar atau wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 150 perserta program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan Malaysia Kohort 11 di Kem Wawasan Negara Meru, Kampung Bukit Cherakah di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Amirudin yakin dengan pendiriannya walaupun ketika itu bidang terbabit dianggap tidak menjamin masa hadapan.

“Pada masa itu, orang kata kamu tidak ada masa depan kerana memilih sains sosial sedangkan orang terburu-buru memasuki bidang kejuruteraan kerana ketika itu disebut zaman ledakan teknologi maklumat,” katanya.

Bagaimanapun, pilihannya itu akhirnya membawa beliau ke jawatan yang disandangnya hari ini pada usia muda.


Pengarang :