Amirudin Shari menyerahkan hadiah kepada Fakulti Pengajian Seni Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM) selaku pemenang pertandingan Inter-Varsity Klang Island Design selepas melancarkan Gerbang Maritim Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019.. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Lapan projek Gerbang Maritim Selangor dilaksana

SHAH ALAM, 29 OKT: Lapan projek awal yang dikenal pasti di bawah fasa pertama pelan induk Gerbang Maritim Selangor (GMS) sedang giat dilaksanakan bagi meningkatkan daya tarikan dan keindahan Sungai Klang, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, projek diterajui anak syarikat milik penuh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) itu meliputi pembersihan dan pemuliharaan Sungai Klang serta pembangunan semula kawasan bandar di sepanjang tebing sungai berkenaan.

Katanya, kawasan terbabit dikhususkan sebagai lokasi aktiviti komuniti dan eko-pelancongan sejajar dengan wawasan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan kawasan tarikan lestari.

“Projek pembangunan semula yang sedang berjalan dan akan dibuka kepada orang ramai secara berperingkat mulai 2020 ialah dua projek pemangkin iaitu kerja menaik taraf keseluruhan Taman Awam Pangkalan Batu sebagai destinasi tumpuan dan taman permainan interaktif.

“Ia termasuk Taman Rekreasi Mangrove Point sebagai hutan bakau pertama di Malaysia yang akan mempromosikan persekitaran biofilik dan kewujudan sistem teksi sungai secara serentak yang pada awalnya akan mudik sejauh 15 kilometer (km) di sepanjang Sungai Klang, sekali gus menghubungkan dua lokasi berkenaan.

“Manakala, bagi projek pembangunan sistem teksi sungai, perkampungan budaya dan bazar besar akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Maritime Gateaway (SMG) To A Better Tomorrow di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Amirudin Shari menyampaikan ucapan pelancaran Gerbang Maritim Selangor berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 29 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI merangkap Pengerusi LLSB, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pihaknya menerusi MBI memperuntukkan dana berjumlah RM45 juta untuk menjalankan kerja pembersihan awal kawasan sungai termasuk projek pemangkin Fasa 1 SMG (2018-2022).

Katanya, ia bertepatan dengan matlamat jangka panjang untuk mengembalikan status Sungai Klang sebagai hab pengangkutan dan membuka ekonomi maritim bagi mengukuhkan kedudukan fiskal Selangor serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Pelancaran hari ini adalah petanda baik terhadap usaha pemuliharaan Sungai Klang kerana selepas menjalani kerja pembersihan selama empat tahun untuk memulihara keseimbangan ekologinya, kini ia masa yang sesuai untuk langkah seterusnya dengan mewujudkan ekosistem sungai yang dapat menggalakkan inklusiviti dan kelestarian.

“Kita juga masih dalam bajet dan mengikut jadual ke arah mencapai matlamat SMG yang menjadi komponen utama dalam merealisasikan pelan induk Smart Central Economic Region,” katanya.

Difahamkan, Projek SMG bakal menyaksikan Kerajaan Negeri mempelbagaikan sumber pendapatan dan memaksimumkan lokasi utama di Selangor, mengunjur hingga ke Kuala Lumpur bagi memacu ekonomi maritim serta pembangunan baharu.


Pengarang :