Pelajar UiTM yang hadir bergambar bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Kampus Puncak Alam pada 14 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Mahasiswa tiang seri utama Selangor

SHAH ALAM, 14 OKT: Mahasiswa adalah tiang seri utama Selangor kerana kelompok itu mampu membawa masyarakat melakukan perubahan ke arah ketamadunan dan kestabilan negeri, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Katanya, ini kerana pendidikan membolehkan keadaan di sesebuah tempat menjadi lebih baik serta mampu  mengubah seseorang daripada lemah kepada lebih berkeyakinan.

“Kita mempunyai lebih 150 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan melahirkan ribuan graduan saban tahun, tetapi jika tidak berkomunikasi dengan baik maka ia tidak akan berjaya menghasilkan apa-apa.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri akan memberi fokus pada bidang pendidikan melalui Belanjawan Selangor pada 1 November nanti, kerana kita percaya melalui aspek ini Selangor akan berada jauh lebih baik,” katanya.

Sesi dialog bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari selepas Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara, (UiTM) Kampus Puncak Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama Dato’ Menteri Besar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, petang tadi.

Hadir sama EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim dan Rektor UiTM cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam, Prof Dato’ Dr Abu Bakar Abdul Majeed.

Pada majlis sama, hampir 200 mahasiswa diberi peluang mengutarakan pelbagai pandangan serta pertanyaan kepada Dato’ Menteri Besar.

Mahasiswa UiTM mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika Program Hi-Tea sempena Jelajah Maju Bersama YAB Dato Menteri Besar di UiTM Kampus Puncak Alam. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Amirudin yang juga EXCO Pendidikan berkata, sejak pertengahan tahun lalu Kerajaan Negeri memulakan inisiatif Jelajah Maju Bersama yang turut membabitkan kampus IPT seluruh Selangor.

Katanya, hingga kini Kerajaan Negeri juga mengambil langkah mendekati mahasiswa di seluruh negeri termasuk yang berada di luar negara.

“Kami bertemu mahasiswa Selangor yang berada di Morocco, Maghribi, Jordan, Medan dan akan datang ke Arab Saudi dan Sudan, juga tidak ketinggalan mahasiswa tempatan termasuk UiTM Shah Alam dan Puncak Alam.

“Lawatan ini dilakukan kerana saya beranggapan dan percaya mereka adalah elemen penting yang perlu diberi tumpuan dan ianya tunggak kepada negeri,” katanya.


Pengarang :