Amirudin Shari ditemu bual media selepas Program Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 di Hotel Blue Waves, Shah Alam pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Perhebat penterjemahan karya ilmuan agama

SHAH ALAM, 22 OKT: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) disaran terus mempelopori gerakan membudayakan ilmu ketokohan ulama dengan penterjemahan karya turath Arab ke dalam bahasa Melayu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, mungkin sudah tiba masanya usaha penterjemahan diperhebatkan termasuk hasil karya Ibn Hajar Al-Asqalanu atau Syarah Sahih Muslim oleh An-Nawawi.

“Saya baharu pulang dari Mesir dan sempat merasai kehangatan ilmu yang dibincang serta diperdebatkan di Ruwaq Jawi, Universiti Al-Azhar.

“Usaha mereka meneroka, menterjemah dan membongkar kitab turath wajar dipuji,” katanya ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 (PAnTUMN2019) Ke-3, di Hotel Grand Blue Wave di sini, hari ini.

Amirudin Shari berucap ketika Program Persidangan Antarabangsa Tokoh Ulama Melayu Nusantara 2019 di Hotel Blue Waves, Shah Alam pada 22 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Shahzihan Ahmad dan Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.

Sementara itu, Amirudin yang ditemui pemberita selepas persidangan itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Selangor boleh memiliki pusat pengajian yang menjadi Al-Azhar Asia Tenggara dan mampu menghasilkan kecemerlangan ulama nusantara terdahulu.

Mengambil contoh KUIS, katanya, Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan mampu berkembang menjadi pusat rujukan Islam pada masa hadapan.

“Budaya keilmuan itu harus dibentuk dan dikembangkan sama ada persidangan mahupun ketokohan ilmuan yang ada di KUIS.

“Selain itu, terdapat beberapa universiti di berhampiran kita termasuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang saya percaya akan menjadi satu jaringan kuat pada insititusi pengajian Islam di Selangor.

“Kita juga ada EXCO Pendidikan dan Islam dengan kedua-duanya harus bergandingan melihat institusi ini diperkasakan,” katanya.

Terdahulu, PAnTUMN2019 kali ketiga anjuran JAIS dengan kerjasama KUIS itu menghimpunkan lebih 200 peserta membabitkan lebih 50 kertas kerja penuh yang berjaya dikumpul daripada pembentang.

Bertemakan legasi, harapan dan cabaran ulama dalam mendepani arus globalisasi di rantau nusantara, persidangan dwitahunan itu mengetengahkan ramai tokoh ulama dari seluruh Nusantara bagi menarik lebih ramai generasi sekarang mendekati ulama, sekali gus mendidik masyarakat menjadi lebih berilmu serta cinta kepada agama sendiri.


Pengarang :