BERITA UTAMASELANGOR

MB: Program khusus tangani isu pencemaran sungai

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri akan membina rangkaian program khusus bersama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) bagi memudahkan pemantauan berkala di sungai utama negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu bertujuan untuk mengurangkan kejadian pencemaran sumber air mentah sehingga menyebabkan loji dihenti tugas.

“Kita perlu bertindak melaksanakan langkah pencegahan awal, ketika ini Kerajaan Negeri sedang membina program untuk memantau sungai utama khususnya sungai yang berpotensi tercemar.

“Kita sedang aturkan untuk ditangani. Kerajaan Negeri komited bukan hanya mengambil tindakan undang-undang tetapi di peringkat pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Konvensyen Tranformasi Pengurusan Hal Ehwal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah, Masjid Negeri di sini, hari ini.

Amirudin Shari melawat ruangan pameran ketika Konvensyen Transformasi Pengurusan Hal Ehwal JAIS di Dewan Muzakarah, Masjid Negeri pada 1 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Setakat ini, Amirudin berkata, pemantauan hanya dilakukan sekiranya terdapat aktiviti pencemaran dilaporkan.

“Pemantauan berlaku apabila adanya pencemaran sahaja dan bukannya bagaimana perlu mengelak pihak yang menjalankan aktiviti berkaitan.

“Sebab itu wujudnya rizab sungai. Tetapi apabila kita bertindak tegas kepada mereka yang tinggal di rizab sungai, kita dituduh macam-macam.

“Apabila pencemaran berlaku, marah pula kepada Kerajaan Negeri jadi perkara ini perlu diteliti dengan serius,” katanya.

Sabtu lalu, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya, selepas berlaku insiden pencemaran bau dengan bacaan lima ton, di sumber air mentah Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, henti tugas loji itu akan menyebabkan sebanyak 204 kawasan membabitkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.


Pengarang :