AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ucap takziah kepada keluarga Fauziah Nawi

SHAH ALAM, 27 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dramatis terkenal tanah air, Fauziah Nawi atas kehilangan anaknya, Pitt Hanif yang ditemui mati lemas, di Sungai Mela, Jerantut, Pahang, hari ini.

“Innalillahhiwainnailaihirojiun. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga penuh nikmat.

“Takziah diucapkan kepada @fauziahnawi sekeluarga. Semoga tabah menerima ujian. Al Fatihah,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.

Terdahulu, mayat Pitt atau Mohd Firdaus Mohamad Hanif,43, ditemui kira-kira jam 5 petang tadi selepas dua hari dilaporkan hilang.

Berita menyayat hati itu disahkan sendiri pelakon veteran berkenaan menerusi siaran langsung di laman Facebook.

Mayat mangsa ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terapung kira-kira 500 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Sebelum ini, pengarah filem Coast Guard itu dan jurukamera Sham Mokhtar menaiki sebuah bot untuk memancing selepas menamatkan penggambaran filem pada jam 9 pagi.

Menurut seorang kru produksi filem terbabit, memaklumkan kejadian jam 11 pagi itu disaksikan isteri Sham Mokhtar.

Bagaimanapun, jurukamera filem itu dapat menyelamatkan diri dan Pitt dikatakan cuba berenang selepas bot yang dinaiki terbalik dan gagal ditemui.


Pengarang :