Dato’ Mohd Sayuthi Bakar bersama Ahli Majlis melihat bajet 2020 bertema Bandaraya Berdayatahan. Foto ihsan MBPJ
PBTSELANGOR

MBPJ bentang belanjawan ‘back to basic’ lebih RM400 juta

PETALING JAYA, 2 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mencadangkan sejumlah RM409,851,880 untuk belanjawannya tahun hadapan bertemakan ‘Bandaraya Berdayatahan’.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, MBPJ memfokuskan empat pengurusan ‘back to basic’ antaranya Pengurusan Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pengurusan Taman, Padang dan Landskap, Pengurusan Sisa Pepejal, Pembersihan dan Kesihatan Persekitaran serta Pengurusan Keselamatan Bandar, Sosial dan Kemasyarakatan.

Katanya, ia akan dibangunkan berteraskan prinsip keselamatan dan kesempurnaan, kerancakan (vibrant), berdayahuni, reka bentuk sejagat (universal design), ‘value for money’, kemudahsampaian, penyediaan perkhidmatan mampu bayar dan efisyen selaras dengan wawasan ‘PJ Sustainable 2030’.

“Pada tahun hadapan, MBPJ mengambil pendekatan berbelanja secara berhemah dan memberi fokus kepada amalan budaya menyelenggara dengan menumpukan kepada kerja ‘back to basic’ bagi
perkhidmatan penyelenggaraan jalan raya, sistem saliran dan pencahayaan bandar serta menaik taraf dewan serta program penghijauan bandar.

“Di samping itu, MBPJ juga meneruskan lagi program pembangunan masyarakat dan sosial melalui program keselamatan yang membabitkan penduduk bagi mengurangkan kadar jenayah di Petaling Jaya.

“Langkah ini diharapkan akan dapat menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya yang selamat dan sejahtera untuk didiami,” katanya pada pembentangan Belanjawan MBPJ 2020, baru-baru ini.

Mohd Sayuthi berkata, penyediaan Belanjawan 2020 itu menggunakan kaedah Zero Based Budgeting (ZBB) berbanding kaedah ‘Modified Budgeting System’ (MBS) yang digunapakai sebelum ini.

Katanya, perubahan kaedah penyediaan itu bertujuan menyediakan belanjawan yang benar-benar diperlukan berdasarkan kemampuan kewangan MBPJ, pada 2020.

“Cadangan belanjawan ini disediakan berdasarkan kepada ‘priority based budgeting’ iaitu keutamaan kepada perbelanjaan yang komited, perbelanjaan menaik taraf dan projek yang belum selesai.

“Pada tahun 2020, anggaran kutipan hasil adalah berdasarkan kepada kutipan sebenar yang boleh dikutip dan MBPJ akan berusaha untuk mencari ruang seluas mungkin supaya kutipan hasil boleh ditingkatkan melalui penyusunan dan pemantauan tatacara kutipan hasil,” katanya.


Pengarang :