Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar meninjau proses tuntutan wang cagaran di kaunter yang disediakan selepas selesai merasmikan Majlis Pelancaran Sistem e-Cagaran dan Program Tuntut Wang Cagaran di Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ lancar sistem e-Cagaran

PETALING JAYA, 9 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sistem e-Cagaran bagi menaiktaraf sistem lama yang sudah digunapakai sejak 2003, sekali gus menjadikan mereka sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama melaksanakan sistem seumpama itu, di negeri ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, setelah 10 tahun menggunakan sistem lama, MBPJ mengambil keputusan untuk menaiktaraf berdasarkan keperluan dan kehendak semasa.

Katanya, proses menaiktaraf mengambil masa 18 bulan dan mula digunapakai pada 1 Februari lalu, namun ia kembali dinaiktaraf berdasar maklum balas Jabatan Audit Negara.

“Sistem e-Cagaran ini mampu memberi keselesaan serta penjimatan masa kepada pelanggan kerana boleh diakses orang awam tanpa perlu berkunjung ke kaunter MBPJ seperti sebelum ini.

“Tambah menarik apabila e-Cagaran ini berupaya untuk membuat pemulangan semula melalui kaedah Pemindahan Dana Elektronik (EFT) berbanding pemulangan menggunakan kaedah cek.

“Paling penting pengguna boleh membuat semakan status cagaran melalui laman web MBPJ, justeru dengan penambahbaikan ini semoga wang cagaran yang dikutip oleh majlis dapat diuruskan dengan baik serta teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Sistem e-Cagaran dan Program Tuntut Wang Cagaran di Bilik Gerakan MBPJ, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, sehingga 30 September, MBPJ menguruskan 34 jenis cagaran berjumlah RM225,876,333.

“Cagaran atau deposit yang dikutip MBPJ bertujuan supaya pemohon mematuhi semua syarat ditetapkan majlis.

“Ianya adalah liabiliti kepada majlis dan kerana itulah setiap cagaran diterima perlu diuruskan dan disimpan dengan baik dan teratur,” katanya.


Pengarang :