AGENSISELANGOR

MBSA beri hadiah buat bayi 10 Oktober

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 11 OKT: Sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Ke-19, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini mengadakan lawatan ke Hospital Shah Alam dan Hospital Pakar Avisena Women’s & Children’s bagi meraikan bayi yang dilahirkan semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, kunjungan diketuai Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim menyampaikan hamper kelengkapan bayi dan wang tunai kepada setiap anak yang lahir pada 10 Oktober sempena ulang tahun MBSA pada hari terbabit.

Shahrin berkata, kunjungan itu juga salah satu pengisian aktiviti MBSA sepanjang bulan ini.

“Antara pengisian lain pada bulan ini ialah majlis bacaan yasin dan doa selamat, pasar bunga Shah Alam serta hari tanpa kenderaan di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, orang ramai khususnya warga Shah Alam juga diberi keistimewaan tempat letak kereta percuma di Bangunan Wisma MBSA dan di hab Stesyen Komuter Seksyen 19 semalam.

“Peminat bola dan futsal juga diberi kemasukan percuma di Dataran Kemerdekaan pada hari berkenaan,” katanya.

Katanya, MBSA turut menawarkan pendaftaran keahlian Perpustakaan MBSA secara percuma pada bulan ini selain tawaran pengurangan kompaun tempat letak kenderaan.


Pengarang :