Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA komited inovasi pusat kitar semula

SHAH ALAM, 3 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) komited mahu menambah baik pusat kitar semula di sekitar kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Haris Kasim berkata, pihaknya bercadang menginovasikan pusat kitar semula supaya ia tidak kelihatan seolah-olah tempat pembuangan sampah.

Katanya, tempat itu sebaliknya perlu kelihatan lebih menarik dan orang awam berminat meletak barangan yang ingin dikitar semula.

“Kita ingin memberi suntikan inovasi terhadap pusat berkaitan selain mewujudkan satu ruang yang selesa apabila pengguna datang ia tidak kelihatan seperti pusat pembuangan sampah.

“Selain itu, kita mahu ubah persepsi orang awam supaya mereka menganggap pusat kitar semula sebagai tempat mendatangkan hasil sekali gus boleh menjadikan ia sebagai satu pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutup Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah 2019 anjuran MBSA di Dewan Bankuet MBSA, di sini, semalam.

Terdahulu, MBSA turut mengadakan kempen kitar semula yang mula dilancarkan sejak 2007 membabitkan pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah.

Kempen itu turut mendapat kerjasama daripada Fraser & Neave Holdings Bhd dan Syarikat Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd yang bertujuan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar demi generasi akan datang.

Selain itu, ia juga untuk mendidik masyarakat terutama pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan seharian.


Pengarang :