AGENDANASIONAL

MCA mahu rampas kerusi Tanjung Piai

PONTIAN, 28 OKT: Ahli MCA diingatkan supaya dapat bekerja lebih keras dalam satu pasukan agar dapat merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual 16 November ini.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pihaknya juga mengharapkan agar semua ahli parti berkenaan dapat berperanan menjadi pembangkang yang efektif serta berkesan di Tanjung Piai ini.

Katanya, yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam, terdahulu pihaknya tewas pada PRU-14 hanya dengan 524 undi melalui calonnya, Datuk Seri Wee Jeck Seng.

“Mulai hari ini kita perlu bersedia untuk PRK di sini (Parlimen Tanjung Piai) dan perlu merampasnya kembali,” katanya ketika merasmikan Pusat Gerakan Jentera MCA bagi PRK Parlimen Tanjung Piai di Pekan Nenas di sini, hari ini.

Jelas Ka Siong, pihaknya berharap para pengundi dapat memilih calon yang tepat pada kali ini.

Terdahulu, pada PRU lepas, Jeck Seng kalah tipis dengan calon daripada Bersatu, Datuk Dr Md Farid Md Rafik dengan perbezaan 524 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan setelah kematian penyandangnya, Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, yang meninggal dunia di Hospital Pontian, Johor, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Penamaan calon bagi PRK Tanjung Piai ditetapkan pada 2 November di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

Turut serta dalam perasmian pusat gerakan terbabit ialah Ketua Bahagian MCA Parlimen Tanjung Piai, Jeck Seng.

– BERNAMA


Pengarang :