PBTSELANGOR

MDHS antara PBT catat pendapatan tertinggi di Malaysia

SHAH ALAM, 2 OKT: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memperolehi pendapatan RM92 juta, sekali gus menjadi antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mencatatkan pendapatan tertinggi di negara ini.

Bahagian Korporatnya dalam kenyataan berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia melalui laporan prestasi sosioekonomi 2018 yang membabitkan lima negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah, Kedah dan Perak merekodkan, MDHS antara majlis daerah yang mempunyai prestasi kewangan tertinggi.

Katanya, pendapatan PBT itu yang bermula pada RM83.5 juta pada 2017 akan dijangka meningkat kepada RM99 juta, pada 2020.

“Angka ini hampir memberi saingan kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang mencatatkan bilangan pendapatan sebanyak RM105.7 juta, pada 2017.

“Secara tidak langsung, jumlah pendapatan MDHS menunjukkan saingan bukan sahaja kepada perbandaran tetapi bandar raya,” kata kenyataan itu.

MDHS turut menyahut cabaran untuk mentadbir Hulu Selangor setanding dengan PBT lain yang berstatus perbandaran atau bandar raya, walaupun ia terletak di hujung utara Selangor.

Kenyataan itu pada masa sama turut menyebut PBT berkenaan akan terus berusaha untuk menaikkan status majlis daerah kepada majlis perbandaran bagi memberi perkhidmatan yang lebih profesional.

“Dalam tempoh dua tahun, MDHS juga akan memastikan semua urusniaga pelanggan boleh dilakukan secara dalam talian yang mana lebih cepat, telus dan mudah.

“Itu juga adalah hasrat kerajaan dalam mengelektronikkan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Sehingga kini MDHS mentadbir kawasan seluas 175,630.11 hektar dengan jumlah penduduk sebanyak 237,600 orang.


Pengarang :