AGENDANASIONAL

MED mahu terokai peluang dalam sektor halal, teknologi New Zealand

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) berhasrat menerokai peluang lebih luas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia dalam sektor halal dan teknologi di New Zealand.

Dalam lawatan kerja beliau ke New Zealand baru-baru ini, Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan sektor swasta daripada Malaysia dan New Zealand.

“MoU pertama antara BCA International Sdn Bhd dan Oceania Halal Academy, New Zealand dalam bidang halal, yang akan menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menyumber bekalan bahan mentah daripada New Zealand bagi pembuatan gelatin halal di Malaysia.

“MoU kedua adalah antara MyProdigy Asia Pacific dan Map My Skills, New Zealand dalam bidang pembangunan bakat. MoU itu dijangka mewujudkan peluang kepada PKS Malaysia untuk menggunakan teknologi baharu dan berasaskan blockchain untuk tujuan pensijilan pembangunan bakat,” katanya.

Semasa di New Zealand, menteri turut menyertai Persidangan Pengurusan Gunaan Antarabangsa (IAMC) ke-8 di Institut Teknologi Waikato (WINTEC).

Dalam ucapannya, beliau berkata banyak jaringan ekonomi akan dibina antara PKS daripada kedua-dua negara.

Beliau turut berkongsi mengenai Dasar Keusahawanan Nasional 2030 yang baru dilancarkan di Malaysia, dasar yang menetapkan hala tuju untuk menggalakkan PKS berkembang melangkaui pasaran domestik mereka, menjalin hubungan strategik dan memanfaatkan inovasi untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti mereka.

– BERNAMA


Pengarang :