AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Melewar Group, Institut Penerbangan Moscow laksana kajian daya maju universiti penerbangan

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Melewar Group dan Institut Penerbangan Moscow (MAI) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalankan kajian daya maju bagi penubuhan universiti penerbangan sepenuhnya di Malaysia.

Dalam kenyataan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MoU itu akan mengorak laluan dalam usaha menerajui kebolehupayaan kejuruteraan berteknologi tinggi dan penerbangan, yang berperanan sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan inovasi dalam industri aeroangkasa Malaysia.

Beliau berkata, kedua-dua pihak juga akan merancang asas universiti dan kursus pengkhususan teknikal bagi bidang berkaitan penerbangan di Kuala Lumpur.

Selain itu, pihak berkenaan akan berbincang dengan kerajaan Malaysia dan Rusia mengenai penglibatan mereka untuk bersama-sama membangunkan universiti penerbangan sepenuhnya di Malaysia, katanya.

Beliau berada di Moscow, Rusia menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Bersama Rusia-Malaysia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) yang diadakan semalam.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, JCESTC telah memutuskan untuk membentuk Kumpulan Kerja bagi Industri dan Perdagangan, yang akan dipengerusikan bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia dengan Kementerian Industri dan Perdagangan Rusia.

Kumpulan Kerja itu akan meneroka peluang ekonomi, perdagangan dan pelaburan dari kedua-dua negara.

“Para pegawai Malaysia dan Rusia juga bersetuju mengadakan perbincangan lanjut mengenai pembentukan kumpulan kerja lain menjelang akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat JCESTC kedua akan diadakan di Malaysia tahun depan.

JCESTC adalah hasil pertemuan dua hala yang positif antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Rusia, Vladimir Putin semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura pada 13 November, 2018 dan Forum Ekonomi Timur kelima di Vladivostok, Rusia pada 5 September lepas.

– BERNAMA


Pengarang :