AGENDASUKANKINI

MFL tarik balik saman terhadap TM

SHAH ALAM, 14 OKT: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia.

Perkara itu disahkan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin, yang menyatakan tindakan menarik balik saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu dibuat melalui persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat, baru-baru ini.

“TM bukan satu entiti yang asing dalam dunia bola sepak tempatan. Mereka bersama MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan menjadi penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 2000.

“Bukan itu sahaja, kita juga mengakui sumbangan TM yang turut aktif dalam menggerakkan pelbagai program pembangunan bola sepak tanah air.

“Justeru, tindakan MFL menarik balik saman terhadap TM berkaitan isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia musim 2019 membuktikan semangat kesukanan di antara MFL dan TM dan saya percaya kita boleh mencari titik persamaan demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Hamidin turut optimis langkah itu akan menjadikan hubungan MFL dan TM terjalin lebih utuh, sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara.


Pengarang :