Ahli Jawatan Kuasa Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC), Rafie Omar ketika temu ramah di Ibu Pejabat MFPC, Mont Kiara pada 7 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MFPC anjur bengkel percuma urus kewangan peribadi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC) bakal menganjurkan bengkel kewangan secara percuma bagi membantu orang ramai mengurus perbelanjaan peribadi.

Ahli Jawatankuasa Luar MFPC, Rafie Omar berkata, bengkel sehari bertajuk ‘Saya dan Wang Saya’ itu dijadual berlangsung di Dewan Seri Mutiara, Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Perdagangan Petaling Jaya pada 2 November.

“Sebelum ini, bengkel sama sudah dianjurkan semua negeri dan Selangor adalah destinasi terakhir. Penganjurannya bertujuan memberi penerangan kepada masyarakat tentang bertapa pentingnya menguruskan kewangan peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas dengan Media Selangor di Pejabat MFPC, Menara One Mont Kiara, di sini, hari ini.

Rafie berkata, antara subjek yang menjadi fokus dalam bengkel ini seperti membabitkan isu pendapatan, perbelanjaan, tabungan, pelaburan, menguruskan kredit, perlindungan insurans atau takaful dan percukaian.

Katanya, bengkel itu menampilkan penceramah daripada pelbagai agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, agensi pelaburan dan LHDN.

“AKPK menerangkan bagaimana caranya menguruskan kewangan secara berhemah dan penyelesaian terbaik dalam melunaskan hutang,” katanya.

Selain itu, Rafie berkata, pihaknya juga membuka reruai kepada orang ramai untuk mendapatkan maklumat perkhidmatan disediakan.

Katanya, sehingga kini lebih 200 peserta telah mendaftar mengikuti bengkel yang terhad untuk 400 itu.

Orang ramai yang berminat masih berpeluang membuat pendaftaran secara di atas talian di 1st.mfpc.org.my/PublicEventRegistration/83.


Pengarang :