Oknha Datuk Dr Othsman Hassan menyampaikan sijil dan hadiah kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama Kemboja pada 27 Oktober 2019. Foto NAZLI IBRAHIM
AGENDAAGENSISELANGOR

Modul pendidikan Islam Selangor diterap ke sekolah agama Kemboja

PHNOM PENH, 29 OKT: Kerajaan Kemboja yakin proses pembelajaran pendidikan agama di Kemboja lebih sistematik apabila modul pendidikan Islam Selangor diterapkan di semua sekolah aliran di negara terbabit.

Menteri Kanan Tugas Khas-Perhubungan Islam Kerajaan Diraja Kemboja, Oknha Datuk Dr Othsman Hassan berkata, Kerajaan Kemboja mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor yang berusaha meletakkan asas kukuh pembangunan institusi pendidikan agama Islam di negara ini.

“Program ini menunjukkan perkembangan Islam di Kemboja mendapat sokongan masyarakat Islam di Malaysia khasnya Selangor melalui Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Lembaga Zakat Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan banyak lagi pihak lain yang turut membantu.

“Ini satu bantuan yang sangat baik kerana dahulu kita tidak pernah mempunyai peluang untuk menyusun sistem pendidikan Islam untuk anak-anak kita tetapi dengan modul pendidikan Islam Selangor ini kita dapat gunakan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan Sekolah Rendah Agama Kemboja (PSRAK) 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh, di sini, kelmarin.

Othsman berkata, walaupun komuniti Islam di negara ini hanya lima peratus daripada 16 juta populasi penduduk Kemboja namun program ini mendapat sokongan penuh kerajaan negara ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Hun Sen.

“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan memperuntukan gaji bulanan AS$330 untuk 1,500 guru-guru agama Islam, guru kontrak pula AS$264 dan kerajaan turut membantu membangunkan Sekolah Agama Islam,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama Othsman menyerahkan sijil dan hadiah kepada pelajar yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama Kemboja.

Peperiksaan yang setara dengan Penilaian Sekolah Rendah Agama di Selangor ini kali pertama diadakan selepas modul pendidikan Islam Selangor diguna pakai di 12 buah sekolah agama di negara ini dengan membabitkan seramai 268 calon.

Modul sama akan diperluaskan ke seluruh 608 buah sekolah agama Islam yang ada di Kemboja.


Pengarang :