Dato’ Dr Ab Halim Tamuri (dua, kanan) bersama Dato’ Norman Abd Halim (dua, kiri) selepas menandatangani MoU antara Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Yayasan KRU di Dewan Senat KUIS, Bangi pada 17 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MoU KUIS-Yayasan KRU kembang bakat pelajar dalam industri kreatif

BANGI, 17 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) memperkukuh kerjasama dengan Yayasan KRU bagi menyediakan peluang perniagaan berkaitan industri kreatif terhadap mahasiswa serta graduan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan.

Rektor KUIS, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri berkata, kerjasama itu dijalinkan buat pertama kali menerusi program ‘Contentpreneur 2020’ yang dilancarkan yayasan terbabit pada 30 Ogos lalu.

Katanya, langkah itu memberi peluang kepada pelajar dan alumni KUIS yang berminat untuk menghasilkan kandungan kreatif berorientasikan nilai-nilai Islam.

“Bermula daripada pelbagai bentuk kandungan misalnya muzik dan animasi, kita mahu pelajar di IPT ini supaya dapat berkembang dalam bidang industri kreatif, sekali gus menjadi pemain industri yang hebat pada masa hadapan.

“Mereka (Yayasan KRU) akan memberi latihan dan kemahiran di Akademi KRU, manakala kita akan menyediakan kandungan kepada pelajar.

“Gabungan antara kandungan dan kemahiran penting bagi melahirkan bukan sahaja lebih ramai artis, tetapi juga penulis lirik dan animasi yang berteraskan Islam, jadi pelajar harus mengambil peluang ini sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, di Dewan Senat KUIS, di sini, hari ini.

Mou itu ditandatangani Ab Halim bagi pihak KUIS, sementara Yayasan KRU diwakili Presiden Lembaga Pemegang Amanahnya, Datuk Norman Abdul Halim.

Mengulas lanjut, Ab Halim berkata, perjanjian selama lima tahun itu berupaya membantu dalam penghasilan teknologi dan inovasi yang bermutu bagi merancakkan industri serta ekonomi Islam di negara ini.

Katanya, kemahiran penguasaan teknologi penuntut dan graduan KUIS dapat ditingkatkan melalui program peningkatan kemahiran serta memberi kemahiran oleh akademi yang berpangkalan di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil itu.

“Sekarang ini, tidak ramai yang berminat untuk menceburi bidang kreatif seperti penulisan skrip dalam Islam, begitu juga dengan muzik. Justeru, dengan kemahiran yang ada akan melahirkan ramai lagi seniman atau pengusaha kreatif yang boleh dikembangkan pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Norman berkata, kerjasama itu adalah kali pertama dijalankan bersama IPT berteraskan Islam.

“Penerbitan kandungan berunsurkan Islam khususnya lagu nasyid kadangkala bermusim, tetapi ia sebenarnya ada pasaran tersendiri,” katanya.

Contentpreneur 2020 adalah program berkonsepkan pertandingan yang bakal menyediakan pembiayaan modal permulaan sebanyak RM50,000 kepada pemenang bagi penciptaan harta intelek.

Pemenang akan mendapat pembiayaan suntikan modal bagi penerbitan harta intelek, seterusnya melalui proses ‘mentorship’ oleh pakar profesional termasuk pelabur selama empat bulan.

Sekiranya, berjaya di peringkat permbentangan idea, usahawan akan disediakan dana penerbitan dan mengkomersialkan produk.


Pengarang :