PBTSELANGOR

MPAJ giat usaha selenggara kawasan terjejas bencana

OLEH ALIFF HAIKAL

AMPANG JAYA, 30 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menggandakan usaha menyelenggara dan membaiki kawasan yang terjejas ekoran bencana alam di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata usaha itu antaranya membaiki cerun dan kerosakan longkang U di kawasan tanah runtuh serta hakisan tanah di Kampung Bukit Sungai Puteh juga lorong J dan K di Kampung Tasik Permai.

“MPAJ juga melaksanakan pembersihan pasir dan kelodak di kawasan limpahan air serta banjir di Ampang Saujana membabitkan kerosakan tembok pagar serta kelodak dari hutan yang melimpah ke atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil. 10/2019, di Bilik Mesyuarat 1, Menara MPAJ, di sini hari ini.

Abd Hamid berkata Pihak Berkuasa Tempatan itu juga giat melakukan proses penebangan hutan di kawasan Bukit Sungai Puteh bagi pembinaan kolam takungan air dari Langat 2.

“Selepas kerja pembalakan dan pengeluaran tanah selesai, pihak Langat 2 akan memulakan proses pembinaan kolam takungan yang saiznya lebih besar daripada padang bola sepak” katanya.

Berhubung cukai taksiran, katanya MPAJ sudah mengedarkan 120,786 bil bagi penggal pertama kepada pemilik harta dan mengisytiharkan tarikh akhir untuk menjelaskannya pada 28 Februari 2020.

“Tindakan sitaaan dan mahkamah akan dikenakan kepada pemilik premis atau harta jika masih gagal menjelaskan cukai taksiran MPAJ,” katanya.

Sehingga September lalu, MPAJ sudah menyita barangan elektrik daripada empat premis perniagaan manakala 30 premis dikenal pasti untuk disita sehingga Oktober ini.


Pengarang :