Pelajar yang memenangi pertandingan Kitar Semula Antara Sekolah MPAJ 2019 bergambar kenangan di Galeri MPAJ, di sini pada14 Oktober lalu. Foto Ihsan MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ kumpul 44,979.50 kg bahan kitar semula

AMPANG, 16 OKT: Sejumlah 44,979.50 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpul pelajar sekolah rendah dan menengah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), sejak 1 Mac hingga 31 Ogos lalu.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, kempen kitar semula dengan kerjasama Fraser & Neave Holding Bhd dan Tektra Pak Malaysia itu menerima penyertaan dari 25 sekolah berbanding 16 sekolah pada tahun lalu.

Katanya, langkah itu memberi pendedahan kepada orang ramai berhubung kepentingan menjaga alam sekitar dan mengitar semula barangan terpakai, selain meningkatkan pembabitan semua pihak.

“Kita mahu meningkatkan pengetahuan pelajar dan penduduk berkenaan 4R iaitu Rethink (fikir semula), Reduce (kurangkan), Reuse (guna semula) serta Recycle (kitar semula) supaya dapat membudayakan amalan berkenaan yang menjadi langkah berkesan dalam menguruskan sisa pepejal secara mampan demi generasi akan datang.

“Selain itu, usaha ini dapat memupuk dan meneruskan semangat amalan kitar semula dalam kalangan pelajar serta menyemai perubahan tingkah laku secara berterusan kepada pelajar juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Antara Sekolah MPAJ, di Galeri MPAJ, di sini pada 14 Oktober lalu.

Hasrolnizam berkata, kerjasama dijalinkan antara Pihak Berkuasa Tempatan, syarikat swasta dan sekolah dalam menggerakkan amalan kitar semula diyakini mampu merealisasikan Ampang Jaya ke arah Bandar Rendah Karbon 2017-2030, terutama daripada aspek pengurusan sisa pepejal.

“Pemeliharaan alam sekitar dan seterusnya amalan kitar semula adalah satu perkara yang amat penting untuk mencapai pembangunan mampan, berkualiti dan seimbang.

“Program kitar semula ini akan diperkasakan dan diteruskan pada tahun akan datang untuk kelestarian alam sekitar.

“Kita juga berharap pelajar dan pihak sekolah dapat memanfaatkan serta menerapkan nilai murni daripada program ini,” katanya.

Dalam kempen berkenaan, sebanyak 16 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah bersaing antara satu lain mengumpulkan bahan kitar semula terbanyak termasuk kertas, plastik, aluminium serta kotak minuman bagi merebut wang tunai berjumlah RM16,800.

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Taman Melawati dinobatkan sebagai juara bagi kategori sekolah kebangsaan, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Ahmad Razali mengungguli kategori sekolah menengah.

Tiga kategori lain turut dipertandingkan antaranya Anugerah Khas Sekolah Kebangsaan, Anugerah Khas Sekolah Menengah dan Anugerah Guru Contoh.


Pengarang :