MPS melakukan kerja-kerja meroboh bangsal kereta yang dibina di tanah lapang di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh pada 9 Oktober 2019.
PBTSELANGOR

MPS roboh bangsal kereta untuk naik taraf padang bola

SELAYANG, 10 OKT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melakukan operasi perobohan terhadap pencerobohan tanah lapang bagi memberi laluan menaik taraf padang bola di Kampung Desa Aman, Sungai Buloh, di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, notis pemakluman berkenaan kerja menaik taraf padang bola sudah dikeluarkan 5 September lalu.

Katanya, notis perobohan pula dikeluarkan pada 4 Oktober namun pemilik bangsal kereta itu tetap ingkar terhadap arahan MPS.

“Ekoran itu, MPS mengambil tindakan meroboh struktur (bangsal kereta) itu mengikut Seksyen 81 (hapus kacau ganggu) Akta Kerajaan Tempatan 1967.

“Selain itu, tindakan menebang pokok, membuang dan mengambus sisa robohan lanjutan daripada aktiviti perobohan turut dilaksanakan MPS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi perobohan itu bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari membabitkan 10 anggota penguat kuasa MPS, lima orang daripada Jabatan Landskap dan turut mendapat kerjasama polis Gombak.

“MPS berharap orang ramai mematuhi arahan supaya tidak membina sebarang struktur di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Malah, tindakan tegas akan diambil oleh MPS jika orang ramai masih ingkar,” katanya.


Pengarang :