nggota penguat kuasa MPS merobohkan kandang kambing yang dibina secara haram tanpa kelulusan pentadbir tanah, di Mukim Rawang, di sini semalam. Foto Ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS roboh kandang kambing haram

KUANG, 30 OKT: Sikap tidak bertanggungjawab individu menceroboh tanah milik kerajaan dengan membina kandang kambing secara haram di Mukim Rawang, di sini, akhirnya memakan diri apabila dirobohkan penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam operasi dijalankan pagi semalam.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kandang kambing haram yang dibina di kawasan lapang bersebelahan sebuah kilang cermin itu dirobohkan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Gombak serta Polis Diraja Malaysia.

“Tindakan meroboh kandang kambing haram ini dibuat mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 ekoran dibina tanpa kebenaran Pentadbir Tanah.

“Operasi meroboh kandang kambing ini susulan aduan orang ramai berhubung tindakan penternak yang menceroboh dan membina kandang kambing haram di kawasan terbabit,” katanya.

Bagaimanapun, Mohamad Zin berkata, operasi meroboh kandang kambing itu ditangguhkan apabila penternak haiwan berkenaan datang ke lokasi dan diarahkan untuk mengosongkan kawasan tanah terbabit daripada sebarang struktur binaan.

“Haiwan ternakan milik penternak itu diserahkan kepada pemiliknya dan MPS dengan kerjasama PDT Gombak akan terus memastikan orang ramai tidak menceroboh tanah milik kerajaan.

“Tindakan meroboh struktur akan diambil serta-merta jika mereka menerima maklumat berhubung kegiatan pencerobohan tanah milik kerajaan,” katanya.


Pengarang :