Penguat kuasa MPS merobohkan struktur gerai yang dibina tanpa kebenaran di Taman Bolton, di sini. Foto ihsan MPS
PBTSELANGOR

MPS sita dua gerai tanpa kelulusan

SELAYANG, 24 OKT: Sikap tidak bertanggungjawab peniaga yang mendirikan struktur gerai di atas longkang tanpa kelulusan di Taman Bolton, di sini, mengundang padah apabila gerai mereka disita dalam Operasi Bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), kelmarin.

Dalam operasi bermula 9.45 pagi hingga 12.55 tengah hari itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit mengambil tindakan dengan melakukan dua sitaan inventori di bawah Akta Undang-undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 bagi kesalahan Tanpa Permit Penjaja.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi terbabit dibuat berdasarkan aduan orang awam.

“MPS juga merobohkan struktur gerai atas kesalahan di bawah Seksyen 46(1)a (Roboh) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu Halangan Mendirikan Struktur Khemah di Tempat Awam,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin berkata, operasi selama kira-kira tiga jam itu diketuai Jabatan Penguat kuasa dan Keselamatan MPS dengan kekuatan 31 anggota terdiri daripada Unit Operasi, Zon Gombak 1, Zon Gombak 2 dan Zon Kepong.

“Operasi ini turut dibantu 14 kakitangan daripada Jabatan kejuruteraan, Unit Selenggara Bangunan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan (JPSPK) MPS.

“Jabatan Kejuruteraan menyediakan bantuan seunit jentera pengorek-kaut (backhoe) untuk operasi ini, manakala Unit Selenggara Bangunan menyediakan bantuan memotong bekalan elektrik di gerai terbabit dan JPSPK menyediakan tong roro bagi kerja pembersihan.

“Kita juga mendapat kerjasama tiga anggota polis dari Balai Polis Selayang dan seorang wakil Syarikat Air Selangor,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohamad Zin turut memaklumkan, seorang lelaki awam bertindak melakukan provokasi kepada Ketua Operasi sepanjang operasi dijalankan, namun keadaan berjaya dikawal dengan baik.

“Kita sudah membuat laporan berhubung insiden berkenaan di Balai Polis Prima Sri Gombak,” katanya.


Pengarang :