Amirudin Shari mendengar taklimat ringkas daripada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkenaan bilik kawalan berteknologi moden yang bakal beroperasi selepas beliau merasmikan Selangor Smart City & Digital Economy Convention “Southeast Asia’s Premier Smart State by 2025” di Bangunan MITEC, Kuala Lumpur. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MPSJ komited realisasi hasrat bandar pintar

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) komited merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri menjadi Bandar Pintar menjelang 2025.

Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan berkata, susulan hal itu pihaknya dalam usaha menggabungkan aspek persekitaran, pentadbiran, pembangunan, sosial dan ekonomi di kawasan pentadbirannya.

Katanya, elemen itu perlu digabungkan secara pintar bertujuan memberi kemudahan kepada masyarakat dan pihak kerajaan untuk berinteraksi secara dalam talian.

“Hari ini kita mempamerkan ‘command centre’ iaitu satu tempat pengumpulan maklumat yang terdapat di Subang Jaya sebagai contoh sistem informasi grafik yang ditingkatkan kepada sistem informasi eksekutif.

“Selain itu, kita turut menguatkuasakan kamera litar tertutup di ‘command centre’ bagi mengatasi kesesakan trafik dan daripada situ kita boleh merancang cara mengurangkan kesesakan jalan raya sekali gus mencapai bandar rendah karbon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Konvensyen Ekonomi Digital dan Selangor Bandar Pintar di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, semalam.

Turut hadir merasmikan majlis adalah Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana, Dato’ Teng Chang Khim.

Noraini berkata, pihaknya juga tidak akan membiarkan mana-mana golongan tertinggal di belakang sebaliknya berusaha membawa semua ke depan selaras dengan visi Amirudin iaitu Selangor Maju Bersama.

“Kita mahu semua maju bersama dan MPSJ akan turut berusaha membantu golongan B40 dan usahawan industri kecil sederhana (IKS) memasarkan produk menerusi aplikasi mobil yang akan dilancarkan nanti,” katanya.


Pengarang :