Kakitangan MPSJ menanam pokok bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri mencapai sasaran penanaman sehingga 80,000 setahun di setiap majlis daerah.
PBTSELANGOR

MPSJ tanam lebih 50,000 pokok pelbagai jenis

SUBANG JAYA, 20 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya menanam 51,776 pokok pelbagai jenis di kawasan bawah pentadbirannya sehingga September tahun ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, penanaman pokok itu bertujuan mencapai hasrat Kerajaan Negeri yang menyasarkan 80,000 anak pokok ditanam setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) setahun.

Katanya, usaha itu bagi membantu meningkatkan kadar penyerapan karbon dioksida sekali gus mengurangkan kesan gas rumah hijau dan pemanasan global.

“Inisiatif ini juga selaras Pelan Kerajaan Negeri untuk menyumbang kepada pengurangan 45 peratus intensiti pelepasan gas karbon menjelang 2030.

“Justeru, bagi menyahut seruan Kerajaan Negeri kami menganjurkan Program Bumi Hijau MPSJ di Taman Wawasan 2/12, Pusat Bandar Puchong, semalam.

“Ia juga sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2019 peringkat Selangor yang akan disambut pada 10 November ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Noraini berkata, sejumlah 100 jenis pokok ditanam menerusi program itu yang terdiri daripada lapan spesies.

Katanya, antara pokok yang ditanam ialah 10 batang Kiara Payung, Merawan Siput Jantan (20), Tecoma (10), Leopard Tree (10), Asam Jawa (20), Belimbing Buluh (10), Mengkudu Siam (10) dan Janda Kaya (Musaenda) 10 batang.

“Program ini direalisasikan secara kolaboratif antara pihak MPSJ, Segi College dan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 16 serta dirasmikan oleh Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen.

“Inisiatif ini bagi memupuk semangat mencintai alam sekitar, meningkatkan keindahan dan nilai estetika setempat serta memperkukuhkan hubungan baik antara MPSJ, Segi College juga JKP Zon 16,” katanya.

Katanya, MPSJ mengambil inisiatif untuk melaksanakan program ini selaras dengan tema HPBS iaitu “Green And Community: Together Is Better” bermaksud penglibatan dan sokongan komuniti dalam penjagaan alam sekitar adalah penting dan dapat memberikan impak besar dalam mencapai perbandaran rendah karbon.

“Saya optimis melalui inisiatif ini kita dapat menghijaukan kawasan perbandaran sekali gus merealisasikan hasrat MPSJ menjadi Bandar Hijau menjelang 2030,” katanya.


Pengarang :