AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Mufti Kemboja: Pimpin hingga kami mampu berlari

PHNOM PENH, 30 OKT: Masyarakat Islam Kemboja menyifatkan kejayaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membawa sistem pendidikan Islam negeri sebagai detik yang penting.

Mufti Kemboja, Kamarudin Yusuf berkata, beliau berharap JAIS terus memimpin pendidikan Islam di Kemboja dengan memberikan bimbingan dan panduan sehingga sistem pendidikan Islam di Kemboja mantap.

“Sekarang kami di Kemboja diibaratkan baru belajar berjalan dengan tangan dipimpin, masih lemah dan saya harap Selangor terus pimpin tangan kami sehingga kami mampu berlari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharan Keputusan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama Kemboja (PSRAK) 2019 dan Pelancaran Buku Teks Sirah Sumbangan PKNS di Masjid Ammar bin Yasir, KM9, Crang Comreh di sini, semalam.

Ketika ditemui Media Selangor, Kamarudin berkata, sistem diterapkan JAIS berjaya mengubah amalan lama sekolah agama di Kemboja.

Katanya, pendidikan agama di Kemboja sebelum ini tidak sistematik dengan menggunakan bahan rujukan tanpa penyelarasan betul mengikut tahap sepatutnya.

Kamarudin berkata, walaupun guru-guru di sekolah agama di Kemboja mempunyai pengetahuan agama Islam yang baik tetapi mereka tidak dibekalkan dengan ilmu perguruan.

Selain itu, sekolah agama di Kemboja turut tidak memeliki modul peperiksaan yang boleh dijadikan sebagai indikator mengukur tahap pencapaian pelajar.

“Dulu kami gunakan apa sahaja buku yang ada tanpa mengambil kira kesesuaian tahap pelajar tetapi Alhamdullilah sekarang kami ada modul yang boleh dijadikan panduan, guru-guru pula mendapat latihan perguruan dan dibantu menyiapkan modul PSRAK,” katanya.

PSRAK yang setaraf dengan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama di Selangor diwujudkan oleh pasukan penyelidik JAIS dengan kerjasama Majlis Tertinggi Kepimpinan Islam Kemboja.

Pada majlis sama, Kamarudin mengumumkan keputusan PSRAK 2019 yang diadakan kali pertama dengan pencapaian kelulusan membanggakan.

“Pada tahun ini seramai 268 pelajar menduduki sesi pertama PSRAK dan pencapaian kelulusan keseluruhan peperiksaan 85.5 peratus dengan 29 calon memperolehi pangkat Mumtaz,” katanya.


Pengarang :