PBTSELANGOR

Murid sekolah, tadika kumpul hampir 100,000kg bahan kitar semula

PETALING JAYA, 21 OKT: Hampir 100,000 kilogram (kg) bahan kitar semula berjaya dikumpul dalam Pertandingan Kitar Semula Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Fraser Neave Holdings Bhd (F&N) 2019.

Kutipan 98,320.3kg yang dikumpul dalam pertandingan bermula 1 Mac hingga 31 Ogos lalu membabitkan murid tadika dan sekolah daerah Petaling Jaya itu meningkat empat kali ganda berbanding jumlah dikumpul tahun lalu sebanyak 27,269.3kg.

Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata pertandingan yang memasuki tahun kedua itu bakal menyaksikan MBPJ menjimatkan RM2.5 juta setahun, yakni kos pelupusan sampah yang dibelanjakan pihaknya berbanding RM8.5 juta sebelum ini.

Beliau berkata dengan adanya program seperti ini, MBPJ dapat membantu pihak sekolah memberi kesedaran kepada murid-murid betapa pentingnya usaha menjaga alam sekitar dan melakukan aktiviti kitar semula.

“Program ini juga membantu pihak sekolah dalam mengumpul dana sekolah iaitu hasil jualan barangan kitar semula tersebut dimasukkan ke dalam tabung sekolah,” katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah pertandingan di sini, hari ini.

Surat khabar, barang elektronik, bekas kotak minuman dan plastik merupakan antara barang kitar semula yang dikumpul dalam pertandingan disertai 27 buah sekolah dan tadika itu.

Pertandingan itu menyaksikan Orange Tree Academy muncul juara bagi kategori tadika dan membawa pulang wang tunai bernilai RM500 manakala Sekolah Kebangsaan Sri Kelana menang bagi kategori sekolah rendah (RM1,400) dan kategori sekolah menengah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Sri Aman (RM1,400).

Dalam pada itu, wakil pelajar SMK (P) Sri Aman, Aliya Ahmad, 15, berkata selain memupuk semangat cintakan alam sekitar, pengalamannya mengumpul bahan kitar semula bersama rakan-rakannya yang lain berjaya menerapkan nilai kebersamaan seterusnya membantu sekolahnya menang pada tahun ini.

“Sudah semestinya ia merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kerana banyak cabaran perlu dihadapi namun semangat serta tanggungjawab menjaga alam sekitar dalam diri setiap pelajar membawa kami ke tahap ini,” katanya.

Gurunya pula, Nor Hafizah Mohd Amran, 43, menyifatkan penyertaan kali kedua sekolahnya dalam pertandingan ini membuahkan hasil apabila muncul johan selepas sekadar mendapat tempat keempat tahun lepas.

“Kami sangat bangga apabila dapat muncul pemenang pada tahun ini dan mahu menghadiahkan kemenangan ini kepada pengetua sekolah Misliah Kulop yang akan bersara tahun depan selepas banyak memberi sokongan padu kepada kami,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :