Datuk Abdul Rashid Asari. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Muzium, bangunan bersejarah bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 2 OKT: Muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf menerusi peruntukan Belanjawan Negeri 2020.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri memberi perhatian khusus terhadap nilai kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Selangor.

“Kita menjangkakan aspek ini membabitkan muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf dari segi infrastruktur juga sebagainya.

“Ini akan difokuskan menerusi Belanjawan Negeri 2020, kita akan lakukan yang terbaik sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, industri pelancongan akan terus dipromosikan menerusi FAM Trip dan kerjasama negara luar.

Katanya, pihaknya akan membawa pemain industri tempatan dan luar negara ke Selangor khususnya tempat pelancongan terbaik di negeri ini.

Menerusi Belanjawan Negeri 2019, Kerajaan Negeri memperkasakan program seni kebudayaan berteraskan elemen tradisi dan warisan dengan memperuntukkan
sejumlah RM1.5 juta bagi melaksanakan Festival Alam Melayu Negeri Selangor dan ‘Rentak Selangor International Festival’.

Sejumlah RM2.5 juta turut diperuntukkan sebagai dana tunas untuk penubuhan galeri seni halus Shah Alam Modern Arts (SAMA) dalam jangka masa lima tahun sebagai usaha memposisikan Selangor sebuah pusat seni kontemporari utama di Asia Tenggara.


Pengarang :