AGENDANASIONAL

NADMA: 420 mangsa banjir dipindah di seluruh negara

PUTRAJAYA, 25 OKT: Seramai 420 mangsa daripada 101 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di empat negeri yang dilanda banjir setakat pukul 8 pagi tadi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor, seramai 214 mangsa banjir daripada 49 keluarga telah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara.

Pusat terbabit ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bukit Panjang dan SK Parit Haji Adnan di Pontian serta SK Sungai Kajang dan Dewan Orang Ramai Tongkang Pecah di Batu Pahat.

Di Selangor, seramai 91 mangsa daripada 24 keluarga telah berpindah ke pusat pemindahan sementara di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfield di Kuala Selangor.

Di Perak pula, seramai 84 mangsa daripada 20 keluarga dipindahkan ke SK Changkat Lobak di Kerian, manakala di Pulau Pinang, seramai 31 mangsa daripada lapan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara di Tadika Kemas Kampung Manggis, Seberang Perai.

Laporan Nadma itu turut memaklumkan mengenai amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda daerah Mersing dan Kota Tinggi di Johor sehingga 12 tengah hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :