Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nahas bas di Turki: MB zahir ucapan takziah

SHAH ALAM, 17 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menzahirkan ucapan takziah kepada kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Allahyarham Azalan Miswan yang meninggal dunia di Turki, semalam.

Katanya, beliau turut mengikuti dengan dekat perkembangan rawatan kesemua mangsa di Hospital Afyonkaranhisar.

“Allahyarham bersama 24 lagi anggota Persatuan Kebajikan Pekerja PKNS dan pasangan terbabit dengan kemalangan berdarah sewaktu dalam perjalanan bas dari Pamukkale ke Capadoccia.

“Mereka dijadualkan berada di Turki sehingga 21 Oktober ini dalam rangka lawatan tahunan mereka. Bagaimanapun, bas yang dinaiki kemalangan menyebabkan 10 penumpang tercedera,” katanya dalam kenyataan.

Amirudin turut mendoakan semua yang terbabit diberikan kesembuhan segera.

“Saya berharap jenazah yang akan diterbangkan ke Malaysia selamat dalam perjalanannya ke sini. Terima kasih diucapkan kepada semua yang membantu, terutamanya Kedutaan Besar Malaysia di Ankara. Semoga kita semua sentiasa berada dalam perlindungan,” katanya.

Dalam kenyataan lain, PKNS dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Turki dan Wisma Putra sedang berusaha membawa pulang segera semua mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Afyonkarahisar.


Pengarang :