AGENDAJENAYAH

Najib akan dipanggil polis kes `Nga Kor Ming Super Fans Page’

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan dipanggil ke Bukit Aman dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, Najib telah dihubungi berhubung perkara itu dan bersetuju untuk hadir memberi keterangan.

“Selain Najib, Nga juga akan dipanggil pada bila-bila masa untuk memberi keterangan kali kedua bagi kes ini,“ katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan peringkat Bukit Aman, di sini, hari ini.

Mior Faridalatrash berkata, Nga telah memberi kerjasama baik kepada polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Bernama sebelum ini melaporkan Nga menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran yang didakwa berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib menerusi perkongsian di Facebook menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil tindakan terhadap Pengerusi DAP Perak itu berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September lepas, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Nga bagaimanapun menafikan beliau dan DAP terlibat dalam membuat hantaran itu dan menegaskan akaun itu sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan parti itu.

– BERNAMA


Pengarang :