AGENDANASIONAL

Najib selesai beri keterangan isu Facebook pemimpin DAP

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selesai memberi keterangan hampir dua jam di Bukit Aman berhubung siasatan kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Beliau sebelum itu dilihat memasuki Bukit Aman pada 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Ketika ditemui pemberita, Najib berkata beliau memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Saya serah kepada polis untuk menilai dan membuat apa sahaja keputusan selanjutnya dan antara soalan yang ditanya adalah tujuan membuat hantaran yang dimuat naik,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Najib hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib menerusi perkongsian di Facebook dikatakan menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan terhadap Kor Ming berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September lalu, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwibahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau serta DAP terbabit membuat hantaran itu dan menegaskan akaun tersebut sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

-BERNAMA


Pengarang :