BERITA UTAMASELANGOR

Nilai transaksi SIBS RM680.8 juta, MB yakin capai RM250 juta

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menaruh keyakinan Persidangan Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2019 mampu mencapai sasaran transaksi perniagaan bernilai RM250 juta.

Ia kerana sehingga kini persidangan itu berjaya mencatatkan nilai transaksi perniagaan berjumlah RM680.8 juta sejak kali pertama diadakan pada 2015.

“Tahun lalu, SIBS membabitkan 18,808 meter persegi ruang pameran dengan 334 peserta, 548 reruai dan dihadiri 23,737 peserta yang datang dari 33 negara di samping 66 penceramah dijemput menjadi sebahagian daripada 18 sesi persidangan.

“Pada tahun ini, kami menganggarkan lebih daripada 30,000 peserta menyertainya dengan 850 reruai dan 2,000 mesyuarat perniagaan yang menjana nilai transaksi bernilai RM250 juta,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap di Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor sempena SIBS Ketiga di Pusat Perdagangan Antarabangsa & Pameran Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, SIBS menjadi pilihan tepat untuk ahli perniagaan menjalin hubungan dan mencari peluang baharu.

Amirudin berkata, Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor turut menjadi pemangkin kepada kekuatan ekonomi ASEAN sekali gus mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih mantap dan dinamik.

Katanya, pada tahun lalu dilaporkan pelaburan asing langsung di Asia Tenggara bernilai AS$149 bilion meningkat tiga peratus berbanding 2017.

Amirudin berkata, secara keseluruhan pelaburan asing memasuki pasaran Asia pada tahun lalu berjumlah AS$512 bilion.


Pengarang :