Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran Rumah Transit PPR DBKL kepada Mangsa Kebakaran Pandan Jaya di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melibatkan 24 penerima. Foto Twitter Dr Wan Azizah Ismail
AGENDANASIONAL

Pagar terus kawasan setinggan terlibat kebakaran di Pandan Jaya

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diarah memagar terus kawasan perumahan setinggan di Pandan Jaya di sini, yang terlibat dengan beberapa kejadian kebakaran, bagi memastikan tidak lagi wujud pembinaan rumah setinggan yang baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata kawasan itu tidak sesuai dijadikan kawasan penempatan atau perumahan kerana kedudukan tanah yang sempit dan terletak di bawah kabel elektrik TNB.

“InsyaAllah TNB akan melakukannya dengan segera sebaik sahaja mangsa kebakaran berpindah ke rumah transit masing-masing tidak lama lagi.

“Kawasan ini tidak sesuai dijadikan kawasan penempatan atau perumahan kerana kedudukan tanah yang sempit dan terletak bawah pylon (kabel elektrik TNB),” katanya selepas majlis penyampaian Surat Tawaran Rumah Transit Projek Perumahan Rakyat (PPR) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Seramai 24 keluarga layak menerima surat tawaran rumah transit DBKL itu. Mereka terdiri daripada 40 keluarga mangsa empat kebakaran di kawasan Indian Settlement, Pandan Jaya.

Beberapa insiden kebakaran dilapor di kawasan setinggan yang telah wujud sejak tahun 1970-an itu berikutan struktur binaan yang tidak sempurna, rapuh dan mudah runtuh, selain penyambungan dan pendawaian elektrik dibuat secara tidak sah.

Kejadian kebakaran pada 30 Mei tahun lepas membabitkan 25 rumah, manakala pada 6 Jan lepas melibatkan dua buah rumah, kebakaran pada 25 Mei pula melibatkan 10 rumah dan terbaru pada 17 Jun melibatkan lapan rumah.

Dua daripada kejadian itu disebabkan litar pintas pendawaian lampu, satu berpunca daripada litar pintas pendawaian elektrik manakala satu lagi disebabkan pemetik api oleh kanak-kanak yang bermain masak-masak.

-BERNAMA


Pengarang :