Barisan panel Wacana Malaysia Baru: Adakah Kerajaan Pakatan Harapan Peduli Belia? di Rumah Pemuda, Shah Alam pada 4 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

PAKATAN lebih terbuka, responsif suara anak muda

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Pakatan Harapan membuktikan mereka bersikap lebih terbuka dan responsif terhadap suara anak muda berbanding pentadbiran Barisan Nasional.

Naib Ketua AMK Pusat, Jestin Raj Savarimuthu berkata, sikap positif itu dapat dilihat dalam beberapa tindakan pantas kerajaan ketika berdepan isu membabitkan golongan muda.

“Misalnya isu penghantar makanan Foodpanda mogok yang cepat mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Akhirnya syarikat ini bersetuju mempertimbangkan semula sistem skim bayaran lama kerana skim pembayaran baharu menjejaskan pendapatan penghantar makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Wacana Malaysia Baru: Adakah Kerajaan Pakatan Harapan Peduli Belia?’ di Rumah Pemuda di sini, malam tadi.

Jestin berkata, selain mogok penghantar makanan Foodpanda, beberapa isu lain turut diselesaikan dengan cepat, antaranya membabitkan bayaran elaun kepada pelajar latihan industri pengajian tinggi.

Katanya, isu yang sebelum ini tidak mendapat perhatian pentadbiran kerajaan lama akhirnya selesai apabila kerajaan menetapkan bayaran elaun RM900 sebulan kepada golongan terbabit.

Jestin berkata, kerajaan turut menarik balik senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.

Wacana itu turut membariskan dua panelis lain iaitu Naib Ketua DAPSY Kebangsaan, Shakir Ameer dan Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Persatuan Mahasiswa Semenanjung Kebangsaan, Tassim Zainal serta dikendalikan moderator, Tashrieq Haikal.


Pengarang :