BUDAYARENCANA

Parasit

Kau parasit yang menebuk tengkuk
diam-diam meresapi saraf tunjang
langsung berumah di liang kepalaku
mengembang dan kian berganda
terjelma sebuah kewujudan lain
seakan halimunan, tetapi rakus
menakluk tubuh mewahku.
Segala nutrien kering kauhisap
lidah terkunci, jantung dikawal,
mata dan telinga hilang deria
tubuh dirampas kudeta
senyap, perlahan, licik.
Dalam peralihan kuasa
aku bertukar kuda, atau
lasykar yang dikorbankan
dan kau menjadi maharaja
bersandar kenyang di singgahsana
sesudah kauisytihar dirimu
sebagai aku.

Ariff Hamzah
Kuala Lumpur


Pengarang :