Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)
PBTSELANGOR

Pasar Bunga, Pameran Anggerik Shah Alam 17 Oktober ini

SHAH ALAM, 4 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal mengadakan Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2019 selama empat hari bermula 17 Oktober ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pameran itu bermula dari jam 9 pagi hingga 8 malam di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam, di sini.

Katanya, Pasar Bunga dan Pameran Anggerik Shah Alam 2019 itu adalah komitmen berterusan MBSA untuk mendidik masyarakat menghargai suasana hijau dan keindahan landskap.

“Pasar bunga ini membabitkan penyertaan sebanyak 46 gerai yang menjual pelbagai jenis produk pertanian dan nurseri daripada jenis pokok Bunga Annual, Anggerik, Bougainvilla, bunga ros, hasil kebun seperti sayur dari kebun komuniti, buah-buahan, produk herba, laman dapur, jualan Terrarium Cactus dan beberapa tumbuhan berkhasiat serta bermanfaat untuk kesihatan.

“Kita berharap ia dapat menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara khususnya buat peminat bunga dan tanaman hiasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, turut diselitkan Pertandingan Anggerik individu (terbuka kepada Ahli Kelab Anggerik Shah Alam dan Penduduk Shah Alam), Pameran dan Bengkel Anggerik, Pameran Setem Anggerik, Pertandingan Melukis Kanvas dan Mewarna Kanak-Kanak, Demonstrasi Gubahan Bunga Segar, Demo Mencanting Batik dan Pusat Kraftangan Negara serta Kolam Memancing Kanak-Kanak.

Selain itu, katanya, turut terdapat “Petting Zoo” untuk kanak-kanak secara percuma dan jualan makanan kendera saji serta persembahan kombo buskers sepanjang program diadakan.

“Melalui program seumpama ini, orang ramai secara tidak langsung dapat mengenali pelbagai jenis bunga mengikut spesis serta menggalakkan sikap cintakan alam sekitar.

“Ia juga adalah landasan MBSA untuk memperkenalkan produk tempatan dan menggalakkan penduduk di sekitar Shah Alam terutamanya menanam pokok bagi menghijaukan suasana alam sekitar di kediaman masing-masing,” katanya.


Pengarang :