AGENDANASIONAL

Pastikan insentif petani sampai kepada golongan sasar

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu membincangkan kaedah pengagihan bantuan yang lebih berkesan bagi pekebun kecil getah supaya bantuan yang ada sampai kepada golongan sasar.

Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) Kedah, Mohd Taufik Yaacob berkata, ini kerana ada bantuan sebelum ini tidak sampai kepada pihak yang sepatutnya kerana beberapa isu.

“Ada pekebun kecil getah yang berdaftar iaitu pemilik kebun getah di Kedah, mereka tidak menoreh sendiri, mereka upah orang lain menoreh getah.

“Mereka bekerja tetap tetapi bantuan ini akan dapat kepada mereka…tidak kepada golongan sasar sebenar iaitu penoreh yang menghadapi hari hujan dan harga getah jatuh,” katanya.

Lim Guan Eng ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen pada 11 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat semalam berkata, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk pekebun kecil getah yang layak di bawah RISDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) serta RM100 juta untuk Insentif Pengeluaran Getah pada 2020 untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil yang menghadapi harga getah rendah.

Bagi Pengerusi Pergetak Tanah Merah, Kelantan Izani Zakaria, kerajaan perlu memperluaskan bantuan itu kepada penoreh getah bagi membolehkan golongan terbabit mengimbangi kehidupan dalam kos sara hidup yang tinggi ketika ini.

Katanya setidak-tidaknya kerajaan mengumumkan harga lantai getah RM3 ke atas bagi membantu penoreh getah menguruskan kewangan mereka dalam jangka masa panjang.

Izani berkata, bantuan secara menyeluruh itu perlu dilakukan berikutan pendapatan golongan penoreh tidak menentu bagi menyara kehidupan harian.

“Peruntukan RM200 juta merupakan salah satu bantuan bagi membantu penoreh, namun ia bersifat sementara kepada penoreh yang mengalami situasi sukar akibat harga getah rendah. Harga barang terlalu mahal sedangkan harga komoditi getah rendah RM2.30 sekilogram… oleh itu bantuan jangka panjang perlu dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) Abdul Hamid Bahari berkata tambahan RM50 bantuan sara hidup nelayan daripada RM200 kepada RM250 dapat menggembirakan hati kira-kira 40,000 nelayan seluruh negara.

Abdul Hamid berkata, pengumuman itu menunjukkan usaha dan komitmen kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PAKATAN) menghargai perit jerih nelayan yang turun ke laut mencari rezeki, sekali gus mengiktiraf kerja keras golongan berkenaan.

“Ini memberikan semangat dan galakan kepada golongan nelayan untuk turun ke laut. Meskipun naik RM50 sahaja tetapi ia cukup membuatkan nelayan rasa dihargai yang sedikit sebanyak boleh bantu meringankan beban kos sara hidup termasuk kos membeli pukat dan tali untuk mereka turun ke laut,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU), Mat Yassin Mohamed berkata, kenaikan elaun itu walau tidak banyak tetapi ia petanda positif di mana kerajaan mendengar suara mereka.

“Cukuplah, alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada juga kenaikan RM50 elaun sara hidup berbanding tahun lepas,” katanya.

Bagi Pengerusi Persatuan Nelayan Bachok, Kelantan Saripudin Ishak pula, penambahan itu sedikit sebanyak meringankan beban nelayan yang terpaksa menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat, selain kebanyakan peralatan menangkap ikan naik berkali ganda berikutan kejatuhan ringgit Malaysia berbanding dengan negara-negara jiran terutama Thailand.

“Ini juga disebabkan kebanyakan peralatan menangkap ikan seperti pukat, jaring dan enjin turut naik di pasaran Thailand,” katanya yang turut mencadangkan supaya dihapuskan duti import terhadap barang-barang keperluan itu.

Satu lagi aspek membabitkan kepentingan golongan nelayan dan petani dalam Belanjawan 2020 adalah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri kepada 18 kumpulan termasuk nelayan dan petani.

– BERNAMA


Pengarang :