Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis sedia kuat kuasa pelaksanaan CRS mula 1 Januari

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia melaksanakan tindakan penguatkuasaan susulan pelaksanaan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang diwajibkan mulai 1 Januari tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, penguatkuasaan akan dilaksanakan berdasarkan undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Namun begitu, polis akan menunggu peraturan yang terperinci daripada Kementerian Pengangkutan berhubung langkah penguatkuasaan CRS,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan kerajaan akan mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak di dalam kenderaan mulai 1 Januari 2020.

Ini berikutan statistik menunjukkan seramai 1,559 kematian membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dicatatkan dari tahun 2007 hingga 2017.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pula dilapor berkata, keutamaan langkah penguatkuasaan CRS bermula 1 Januari itu adalah untuk mendidik pengguna jalan raya, dan bukannya menghukum.

Azisman berkata, PDRM menyambut baik usaha kerajaan mewajibkan pemasangan kerusi keselamatan bagi mengurangkan kadar kematian atau kecederaan membabitkan kanak-kanak.

“Saya sokong usaha ini kerana ia dilakukan demi keselamatan nyawa kanak-kanak yang berada dalam kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi berkata, bagi tujuan penguatkuasaan, pihaknya perlu menunggu arahan lanjut daripada Ibu Pejabat JPJ di Putrajaya.

“Apa yang diumumkan satu perkara yang baik dan dari sudut penguatkuasaan, JPJ tunggu arahan lanjut,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :