Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

PDRM terima laporan berunsur hasutan hina Sultan Selangor

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima satu laporan berhubung penulisan berunsur menghasut yang dipercayai dikeluarkan pemilik akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata, laporan berkenaan telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6, Shah Alam pada 11.15 pagi semalam.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh pengiring Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah atas arahan baginda dan polis telah menerimanya.

“Laporan itu merujuk kepada kenyataan menghasut dikeluarkan pemilik akaun berkenaan dalam bahasa Cina sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penutupan Kursus Program Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan, Program Diploma Siswazah Sains Kepolisan dan Diploma Eksekutif Sains Siasatan Sesi 2017/2019 di Maktab PDRM, Cheras hari ini.

Sebelum ini, satu status pemilik akaun Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang menulis kenyataan berunsur hasutan mengajak kaum Cina melakukan bantahan terhadap Sultan Selangor tular pada Ahad lepas.

Tulisan kenyataan itu mengajak orang ramai supaya membenci Sultan Selangor susulan arahan baginda supaya semua papan tanda jalan yang mempunyai dua bahasa di Shah Alam ditanggalkan dan digantikan dengan bahasa Melayu.

– BERNAMA


Pengarang :