Selangorkini
Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Kewangan Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor, Muhamad Taufeq Shah Rawi menyampaikan hadiah kepada juara dalam Kejohanan Bowling Penggerak Belia Tempatan Selangor (PeBT) Sempena Hari Bandaraya Shah Alam di Alam Lanes, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBT SELANGOR

PeBT MPAJ juara sulung Kejohanan Bowling PeBT MBSA

SHAH ALAM, 27 OKT: Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) muncul juara Kejohanan Bowling PeBT Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena Hari Bandaraya Shah Alam Bersama PeBT Selangor yang berlangsung di Bowling Alleys, Pusat Membeli Belah AEON Shah Alam, hari ini.

Mengumpul 1,673 mata, mereka menewaskan pasukan Pegawai Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor di tempat kedua dengan 1,583 mata sementara tempat ketiga dimenangi pasukan Penyelaras PeBT MSN Selangor yang mengutip 1,492 mata.

Selaku juara, PeBT MPAJ membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 beserta piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM800 dan RM500 serta piala.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan dan Kewangan MSN Selangor, Muhamad Taufeq Shah Rawi sambil diiringi Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti MBSA, Khairol Shazwan Shamsaimon.

Muhamad Taufeq dalam ucapan perasmian berkata, objektif kejohanan ini adalah untuk membentuk dan memperkasa belia dalam organisasi kepimpinan serta sukan.

“Kejohanan ini juga mempromosikan PeBT yang bernaung dibawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor supaya dapat menarik minat golongan belia muda untuk bersama-sama membentuk generasi muda berwawasan dengan penglibatan program-program yang dianjurkan,” katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 24 pasukan bertanding dalam kejohanan yang turut mendapat kerjasama MBSA dan MSN Selangor sempena ulangtahun Bandaraya Shah Alam ke-19.

Dalam pertandingan sama, CL Kent dari MBSA diumumkan sebagai Pemain Lelaki Terbaik dengan kutipan 461 mata manakala Manzumi Mohamad dari MSN Selangor mengungguli kategori Pemain Wanita Terbaik dengan mengumpul 449 mata.

Kedua-dua pemenang menerima hadiah berbentuk trofi dan wang tunai RM150.


Pengarang :