AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pegawai APMM mati akibat virus Zika

KUANTAN, 19 OKT: Pegawai Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang meninggal dunia semalam akibat dijangkiti virus Zika, sedang mengikuti kursus latihan pasukan khas agensi itu ketika jatuh sakit.

Pegawai Penguatkuasaan dan Eksesais APMM Negeri Pahang, Komander Maritim Razali Kasim berkata, Leftenan Muda (Maritim) Mohamad Ikmal Ibrahim, 30, sedang dalam fasa akhir latihan bagi menyertai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat APMM, yang dijangka tamat pertengahan bulan hadapan.

“Ketika dimasukkan ke hospital, Mohamad Ikmal sedang dalam latihan di laut iaitu fasa terakhir latihan bersama pasukan khas pasukan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia) di Lumut, Perak.

“Ia adalah satu berita yang mendukacitakan bagi kami semua di APMM,” katanya ketika majlis pengebumian Mohd Ikmal di Tanah Perkuburan Islam Bukit Rangin, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Razali turut menyampaikan lipatan bendera kepada balu Mohamad Ikmal, Siti Salbiah Roslie yang bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja, dalam suasana sayu sambil disaksikan keluarga dan rakan-rakan yang hadir.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan kira-kira jam 7.15 pagi selepas tiba di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap, di sini dari Perak, pada jam 5.45 pagi dan disolatkan selepas solat subuh.

Mohamad Ikmal yang bertugas di KM Nusa Maritim Terengganu disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak, akibat virus Zika, pada jam 4.45 pagi semalam selepas dirawat di hospital berkenaan sejak 12 Oktober lalu.

Sementara itu, bapa kepada Mohamad Ikmal, Ibrahim Abdul, 60, berkata, meskipun berasa sedih dengan kematian anak ketiganya itu, beliau berbangga, kerana anaknya berani mengikut jejak langkahnya dengan menyertai pasukan khas APMM.

“Saya berasa bangga dengan Allahyarham, kerana saya sendiri adalah seorang anggota komando Tentera Darat. Beliau juga anak yang cekal dan kuat pegangan agama,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini berkata, kes jangkitan Allahyarham adalah kes jangkitan virus Zika kesembilan di negara ini sejak 2016.

Seperti yang telah diketahui, virus zika adalah virus demam ringan yang ditularkan melalui nyamuk. Virus zika sendiri adalah flavivirus yang pertama kali ditemukan di hutan Zika, Afrika.

Wanita hamil yang terkena virus ini berisiko melahirkan anak cacat.

– BERNAMA


Pengarang :