AGENDANASIONAL

Pekerja bawah 30 tahun paling ramai terjerat hutang

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Golongan pekerja bawah 30 tahun adalah kumpulan paling ramai dikesan terperangkap dengan beban hutang sehingga sebahagian besar dalam kalangan mereka diisytihar muflis.

Ahli Jawatankuasa Luar Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC), Rafie Omar berkata, pinjaman peribadi dan pinjaman membeli kenderaan adalah faktor utama golongan muda mudah terjerat hutang.

Katanya, anak muda berpendapatan kurang RM4,000 lebih berisiko terjerat hutang berbanding mereka yang berpendapatan melebihi RM5,000.

“Memang pengurusan kewangan rakyat Malaysia agak teruk, anak muda tiada perancangan kewangan sempurna kerana kemahiran menguruskan kewangan tidak diajar secara formal seperti di Jepun tetapi hanya berdasarkan pengalaman sendiri.

“Kadang-kadang golongan muda berhutang disebabkan mereka mahu bersaing dan mudah dipengaruhi kawan.

“Lebih malang lagi apabila hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional belum dijelaskan, lepasan universiti sudah menambah hutang dengan membeli kereta sedangkan mereka boleh naik motorsikal atau pengangkutan awam,” katanya.

Ahli Jawatan Kuasa Majlis Perancang Kewangan Malaysia (MFPC), Rafie Omar ketika temu ramah di Ibu Pejabat MFPC, Mont Kiara pada 7 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas bersama Media Selangor di Pejabat MFPC, Menara One Mont Kiara, di sini, hari ini.

Rafie berkata, sesetengah golongan masyarakat gagal mengukur baju di badan sendiri, masih kurang budaya menyimpan selain tidak mengambil kira faktor inflasi, jaminan kerja dan beberapa faktor lain.

“Sebelum ini ramai yang turut dihantui dengan masalah kad kredit, namun ia dapat diatasi apabila Bank Negara meminda beberapa perkara termasuk langkah memperketatkan permohonan kad kredit.

“Bagaimanapun, kadar upah negara masih berada di paras rendah dan ia seharusnya dikaji,” katanya.

Bagaimanapun, Rafie berkata, butiran serta statistik terperinci berhubung perkara itu hanya akan didedahkannya dalam bengkel ‘Saya dan Wang Saya’ yang dijadual berlangsung i Dewan Seri Mutiara, Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Perdagangan Petaling Jaya pada 2 November ini.


Pengarang :