Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pekerjaan nilai tinggi, IKS mampu bina daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Pewujudan pekerjaan bernilai tinggi, pengurangan guna tenaga tidak penuh dan peningkatan jumlah pekerja berkemahiran antara usaha dalam mencapai Prinsip Panduan Kemakmuran Berterusan.

Menurut Buku Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang dilancarkan Perdana Menteri di sini hari ini selain itu juga ditekankan penembusan jenama Malaysia di pasaran global terutama ASEAN dan penguasaan dalam industri baharu oleh Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Keberhasilan lain yang turut ditekan ialah penggandaan nilai ditambah rantaian bekalan syarikat tempatan terutama PKS dan pelaksanaan model pembangunan yang mampan termasuk keupayaan pengeluaran, pemilikan harta intelek dan penggandaan sumbangan IKS.

“Hasrat utama prinsip ini untuk membina daya tahan ekonomi agar mampu menyerap sebarang ketidaktentuan pasaran global yang mempengaruhi perubahan harga, permintaan dan penawaran.

“Selain itu, ketidakstabilan geopolitik yang boleh mewujudkan kejutan luaran perlu ditangani tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi,” menurut buku itu.

Bagi pendekatan Prinsip Panduan Kesaksamaan Keberhasilan pula menekankan matlamat kesamaan nisbah gaji penengah berdasarkan merit dan nisbah profesional serta pengurusan korporat berdasarkan peratusan bilangan penduduk mengikut kumpulan etnik.

Ia turut membabitkan kesaksamaan agihan ekonomi dan mobiliti sosial yang positif selain bermatlamat merapatkan jurang pendapatan rumah.

“Terdapat kumpulan masyarakat seperti golongan miskin, Bumiputera bukan Melayu dan masyarakat luar bandar tidak memperoleh manfaat serta mencapai keberhasilan yang diharapkan daripada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Tindakan afirmatif ini juga dilihat tidak wajar kerana mengetepikan merit dan kebolehan sebahagian kumpulan lain dan dikatakan memihak kepada kumpulan tertentu, terutama golongan yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan cara yang mudah dan dalam masa yang singkat.

“WKB yang memberi penekanan kepada Kesaksamaan Keberhasilan berbanding Kesaksamaan Peluang akan membolehkan rakyat lebih merasai nikmat pengagihan kekayaan dan pembangunan negara,” tambah buku itu.

-BERNAMA


Pengarang :