AGENDANASIONAL

Pelajar digalak sertai karate, taekwando

IPOH, 2 OKT: Ibu bapa perlu menggalakkan anak-anak menyertai aktiviti kokurikulum berkaitan seni mempertahankan diri sebagai mempersiapkan mereka menghadapi situasi cemas terutama ketika berseorangan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, terdapat pelbagai aktiviti kokurikulum termasuklah taekwando dan karate yang boleh dipilih oleh kanak-kanak dan ibu bapa.

“Namun dalam masa yang sama pendidikan seksualiti telah dimasukkan dalam sebahagian pendidikan jasmani.

“Di peringkat prasekolah juga, cikgu-cikgu ada mengajar para pelajar mana sentuhan yang baik atau tidak baik, dan ia sangat penting untuk mereka belajar dan faham,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peruntukan khas kepada 13 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

Sumbangan itu, disediakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai The Community Chest Fund dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dengan jumlah keseluruhan RM620,000.

Teo diminta mengulas sekiranya pendidikan asas seni mempertahankan diri perlu diwajibkan di sekolah susulan kejadian seorang kanak-kanak perempuan yang terselamat daripada serangan seksual seorang pemandu teksi di kawasan Tembok Panuwasa, Kudat, Sabah, Isnin lepas.

Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun itu berjaya melarikan diri selepas bertindak menyucuk mata lelaki berkenaan menggunakan batang aiskrim dan tindakannya mendapat pujian daripada netizen.

Sementara itu, Nga menyifatkan sumbangan tersebut sebagai ‘layanan istimewa’ Malaysia baharu kepada semua sekolah termasuk sekolah mubaligh, sekolah pondok, madrasah serta Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

– BERNAMA


Pengarang :