Pelajar makan sambil mengulangkaji pelajaran ketika Program Santapan Kasih PT3 & SPM 2019 di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 9 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelajar PT3, SPM SMK Seksyen 18 diberi sarapan percuma

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 9 OKT: Sebanyak 300 bungkusan sarapan percuma disediakan setiap hari kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18 di sini yang menduduki pemeriksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Naib Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Isa Ishak berkata, penyediaan sarapan menerusi program Santapan Kasih PT3 dan SPM telah dimulakan pada hari pertama PT3 berlangsung iaitu 1 Oktober lalu.

“Sarapan percuma itu disediakan oleh PIBG sama ada menerusi tempahan atau disediakan sendiri dalam kalangan ibu bapa,” kata Pegawai Hal Ehwal Pelajar, Norani Husain, di sini, hari ini.

Norani berkata, program ini secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan.

“Program itu juga mampu mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan guru sekolah ini,” katanya.

Penjaga memberi bungkusan sarapan kepada pelajar pada Program Santapan Kasih PT3 & SPM 2019 di SMK Seksyen 18 Shah Alam pada 9 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Katanya, sebelum pelajar-pelajar bersarapan pada jam 8 pagi, mereka akan membaca yassin dan solat hajat di Surau Al-Madani di sekolah berkenaan.

Menurutnya, program itu akan diteruskan sehingga 26 November ini iaitu bagi pelajar yang menduduki SPM.


Pengarang :