Amirudin Shari (tengah) bersama Mohd Fauzi Mohd Yatim (lima, kanan) bergambar bersama penerima anugerah Low Carbon Cities Award ketika Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya di Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya pada 21 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Pelan bandar pintar dan rendah karbon ke arah ‘Smart State’

OLEH ALIFF HAIKAL

CYBERJAYA, 21 OKT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menyediakan ‘Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon’ Cyberjaya, selaras hasrat Selangor mencapai Negeri Pintar menjelang 2025.

Yang Dipertuanya, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kedua-dua elemen itu penting dalam usaha mewujudkan bandar mampan untuk didiami dan diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kita mengambil maklum, terdapat banyak inisiatif pelaksanaan Smart City dan Low Carbon City
yang dilaksanakan ‘stakeholder’ dan pemaju secara sukarela.

“Justeru, penyelarasan ini perlu supaya tidak berlaku pertindihan dan perkhidmatan dapat diberikan secara cekap kepada orang awam.

“Setiap usaha dan sumbangan yang dilakukan perlu diberi penghargaan dalam bentuk insentif yang sesuai dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim dan Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Townhall Bandar Pintar dan Rendah Karbon@Cyberjaya serta Pelancaran Garis Panduan Pembangunan Mampan@Sepang (GPPMS) Aplikasi Pintar i-Sepang di Cyberview Lodge Resort & Spa, di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Fauzi berkata, MPSepang juga mewujudkan sistem ‘Blueprint’ dan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025 pada 28 November tahun lalu.

Selain itu, katanya turut dilaksanakan projek berorientasikan “Smart City” dan “Low Carbon City” serta menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 40 peratus menjelang 2030 melalui tujuh strategi utama, 24 tindakan utama dan 62 sub tindakan.

“Garis Panduan Pembangunan Mampan (GPPMS) dijadikan sebagai panduan pembangunan yang merangkumi pembangunan Bandar Selamat, Bandar Pintar dan Bandar Rendah Karbon.

“Kerajaan Negeri juga mewujudkan satu aplikasi iaitu i-Sepang bagi membolehkan orang awam mendapatkan perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan secara dalam talian dengan lebih efektif dan efisien,” katanya.


Pengarang :