PBTSELANGOR

Pelbagai keistimewaan Hari Mesra MBSA di SACC Mall 30 Oktober ini

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 14 OKT: Program Hari Mesra Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang bakal berlangsung di SACC Mall pada 30 Oktober ini bakal memberi peluang kepada warga kota untuk menyalurkan pelbagai aduan dan menyelesaikan pelbagai kompaun tertunggak.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, pada program yang berlangsung antara jam 10 pagi hingga 7 malam, orang ramai boleh menyalurkan segala maklumat, komen, cadangan dan aduan kepada MBSA demi penambahbaikan pihak berkuasa tempatan ini.

“Menerusi respon orang ramai tersebut, MBSA dapat mempertingkatkan dan memperbaiki sistem penyampaian kepada komuniti setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program Hari Mesra MBSA itu diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam yang ke-19 pada tahun ini.

Antara pengisian lain pada hari itu ialah semakan dan pembayaran cukai taksiran dan semakan kelulusan permohonan ubah suai rumah.

Katanya, orang ramai yang mempunyai pelbagai saman boleh menikmati diskaun sehingga 50 peratus ke atas kompaun terpilih menerusi Kempen Pengurangan Kompaun.

“Bagi saman parkir, pemilik kenderaan boleh menyelesaikan saman itu pada harga RM30 bagi setiap saman,” katanya.

Shahrin berkata, MBSA turut menyediakan pameran perkhidmatan melibatkan segmen organisasi, pencapaian serta perkhidmatan jabatan-jabatan lain di bawah MBSA dengan tujuan memberikan peluang kepada masyarakat untuk lebih mengenali MBSA.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pegawai Komunikasi Korporat MBSA, Puan Zaidah Zakaria di talian 03-5510 5133.


Pengarang :